DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Jumaat, Julai 20, 2012

BSK 310. Puasa tapi muflis

Bismillah.
Assalamualaikum.

No2150

Umat Islam di negara kita ini akan mula berpuasa esok, Sabtu, 21/07/2012.

Hari ini kami ingin berkongsi dua hadis Nabi s.a.w. berkaitan dengan puasa. Boleh juga kita mengambil pengajaran berguna untuk kebaikkan bersama.

Jom…..

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.

Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk. [HR Bukhari dan Muslim]

Kita perhatikan huraian hadis berkenaan.

  • Puasa merupakan perkara ˜dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
  • Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadhan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadhan berlangsung.
  • Bulan Ramadhan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.
  • Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadhan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.
  • Ramadhan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

Bukan mudah untuk kita mendapat ganjaran seperti yang dijanjikan. Kita perlu berusaha dengan gigih untuk mendapatkannya.

Walauapapun jangan pula kita termasuk didalam golongan yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. dalam hadis dibawah ini.

Jom follow…..

Daripada Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

"Tahukah kamu siapa orang yang bankrap?" Para sahabat menjawab, "Orang yang bankrap bagi kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta". Baginda bersabda, "Sesungguhnya orang yang bankrap daripada umatku ialah orang yang datang di hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat dan dia datang dalam hal dia memaki, mencaci si fulan, tuduh-menuduh serta memakan harta kepunyaan orang lain, menumpahkan darah, membunuh orang dan memukul orang.

Maka diberi kepada orang yang teraniaya pahala kebajikan orang yang menganiaya mereka. Maka jika kebajikan sebelum terbayar tanggungan kezaliman maka diambil daripada kesalahan mereka (orang yang dianiaya)  dan dibebankan ke atas (yang membuat aniaya) kemudian dicampak dia ke dalam neraka". [HR Muslim]

Kita hayati huraian kepada hadis itu.

  • Islam melarang umatnya membuka rahsia dan tuduh-menuduh antara sesama sendiri jika tuduhan-tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar.
  • Islam menjaga kehormatan seseorang daripada melakukan perkara-perkara menyalahi hukum yang boleh membawa kepada permusuhan.
  • Jagalah lidah dan hati daripada mengeluarkan kata-kata yang kesat sesama orang Islam kerana akibatnya boleh menyebabkan amalan seseorang itu diambil dan menggantikan dengan kesalahan yang dilakukannya di dunia.
  • Segala amal kebaikan dan kejahatan akan dapat dilihat dan dirasa balasannya serta ditimbang baik buruknya pada hari kiamat.
  • Orang Islam adalah bersaudara, maka haramlah atasnya pembunuhan, pencerobohan kehormatan dan mencerobohi hartanya.
  • Menzalimi dan menyakiti manusia (seagama) akan menghapuskan pahala dan manfaat amalan yang soleh pada hari kiamat, orang yang melakukannya adalah muflis yang sebenar.
  • Salah satu cara pendidikan yang berkesan adalah dengan menggunakan bentuk dialog dan soal jawab untuk menarik perhatian pendengar.

Hindari diri kita dari termasuk didalam golongan yang membawa sembahyang, puasa dan zakat tetapi bangkrap atau muflis di akhirat.

Cuba kita perhatikan, selain berpuasa, di bulan Ramadhan ini agak-agak berapa rakaat solat yang kebiasaannya akan kita dirikan?

Jom kira…..

  • Solat fardhu – 17 rakaat
  • Solat rawatib – 16 rakaat
  • Solat witir – 3 rakaat
  • Solat tarawih – 8 atau 20 rakaat

Paling kurang 44 rakaat dan paling tinggi 56 rakaat. Yang otai akan mendirikan banyak lagi solat-solat sunat. Kita juga memberikan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ini.

Dengan ganjaran kebaikkan yang dijanjikan oleh Allah SWT, kenapa masih boleh muflis di akhirat?

Muflis atau bangkrap kerana tidak menjaga lidah, berlagak samseng dan berlaku zalim.

Well….. boleh kah kita ‘terjoin’ didalam golongan yang disebutkan diatas?

Fikir-fikirkan.

Selamat berpuasa.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, berikanlah kami ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepada kami dan kepada ibu-bapa kami dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai dan masukkanlah kami dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India