Bismillah.
Assalamualaikum.
Kami cukup teruja apabila terbaca ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno Johor, mahu negeri Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Semestinya kita berlapang dada apabila Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud "sebenar" -- yang menurutnya berbeza dengan hudud PAS.
Mungkin dengan kesedaran beliau akan memulakan anjakan minda dikalangan kawan-kawan yang seangkatan dengan beliau. Kembali pada Islam.
Berbalik kepada isu hudud.
Perbezaan paling ketara, kata Datuk Ayub Rahmat, hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam.
Memang ada perbezaan ketara antara hudud “sebenar” ADUN Umno Johor dan hudud Pas Kelantan. Boleh kata, macam langit dan bumi.
"Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan) tidak menggambarkan kehendak Islam yang sebenar. Ia akan menimbulkan diskriminasi dari segi pelaksanaan (di antara orang Islam dan bukan Islam)," kata Datuk Ayub Rahmat.
Dari apa yang diperkatakan, dapat kita fahami bila dikatakan ‘semua kaum’ maksudnya termasuk bukan Islam.
Menarik! Amat menarik!
Cadangan Datuk Ayub Rahmat secari peribadi mendapat sokongan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Kita ikuti komen beliau. Jom…..
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, secara peribadi beliau menyokong cadangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah Datuk Ayub Rahmat yang ingin menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukum hudud.
"Namun kita kekurangan prasarana terdiri daripada mahkamah, hakim, pegawai pendakwa bagi melaksanakan perundangan Islam di negara ini.
"Jika usaha ini dapat dilaksanakan, BN akan menjadi pihak pertama melaksanakan hukum itu berbanding dengan Kelantan yang hanya bercakap kosong," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian di Shah Alam.
Beliau bagaimanapun dilapor berkata, pelaksanaannya perlu dirancang teliti agar semua faham erti sebenar hukum hudud.
Cadangan itu juga mendapat sokongan sepenuh hati dari Menteri Besar Kelantan. Jom kita ikuti komen beliau…..
“Pada saya, saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar mencabar, saya menyokong sepenuh hati,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kelantan atau Johor dahulu tidak penting. Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud, jika Johor mendahului Kelantan, silakanlah.
“Insya Allah giliran Kelantan akan tiba juga. Sekali lagi saya nyatakan, saya menyokong sepenuh hati,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS melalui Facebooknya.
Justeru, harapan beliau agar cadangan itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan.
“Mari kita bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia.
“Tahniah kepada Umno Johor dan saya menunggu untuk melihat langkah seterusnya,” ujarnya lagi.
Kita semua kena fikir-fikirkan dengan tenang apa yang dikatakan oleh Adun Kemelah itu.
Perlu juga kita hayati kata-kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan dan telah kami ikuti rasul, kerana itu masukkanlah kami dalam golongan orang-orang yang menjadi saksi tentang keesaanMu. Kami meridhai Allah sebagai Tuhan, kami meridhai Islam sebagai Agama dan kami meridhai Muhammad sebagai Nabi. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan