Bismillah.
Assalamualaikum.
Nak cerita sikit mengenai azan yang dilaungkan oleh muazzin atau lebih dikenali dengan panggilan bilal untuk memberitahu masuk waktu solat dan memanggil dan mengajak umat Islam mendirikan solat.
Ada disesetengah surau atau masjid, bilal yang bertugas akan membaca selawat dan zikir-zikir pendek sebagai mengiringi azan yang akan dilaungkan. Ada yang berkata ianya dibolehkan dan ada yang berkata tidak dibolehkan.
Jom kita selidiki asal usul azan. Ada kisah menarik disebaliknya. Jom-jom…..
Dari Abdullah bin Umar katanya: Adalah kaum muslimin ketika baru sampai di kota Madinah, berkumpul menunggu waktu sembahyang kerana belum ada cara untuk memberitahu.
Pada suatu hari mereka itu bermesyuarat tentang cara pemberitahuan waktu; ada yang mengatakan supaya menggunakan loceng seperti Nasrani dan ada pula yang mengatakan supaya menggunakan trompet seperti Yahudi.
Maka berkata Umar bin al-Khattab r.a: Bukankah lebih baik menyuruh seseorang meneriakkan atau memberitahukan waktu sembahyang?
Bersabda Rasulullah s.a.w: Hai Bilal, pergilah dan ajaklah orang-orang bersembahyang.
Secara detailnya kisahnya seperti berikut:
Ketika orang-orang Islam masih sedikit jumlahnya, kesulitan tidak timbul untuk mereka berkumpul bersama-sama bagi menunaikan solat secara berjemaah. Namun semakin hari semakin banyak bilangan orang-orang Islam sehingga timbullah masalah untuk memanggil atau mengingatkan mereka untuk menunaikan solat pada waktunya.
Al maklum setiap orang mempunyai potensi terhadap kealpaan ataupun kelalaian pada diri masing-masing disebabkan oleh berbagai-bagai urusan kehidupan yang dijalani mereka. Oleh sebab itu wujudlah mesyuarat yang membincangkan tentang keperluan bagaimana cara yang harus dilakukan untuk mengingat dan memanggil semua orang untuk solat tepat pada waktunya.
Ada banyak cadangan yang diusulkan seperti yang diceritakan di dalam hadis. Salah satu daripada usul itu datang dari Umar r.a yang mencadangkan agar ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat. Saranan ini kebanyakannya dipersetujui oleh semua orang, termasuk Rasulullah s.a.w. memandangkan banyak cadangan-cadangan yang lain lebih mirip kepada kaum kafir.
Namun yang menjadi persoalannya kini ialah bagaimana perlaksanaannya?
Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid r.a meriwayatkan :"Ketika cara memanggil kaum Muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur aku bermimpi melihat ada seseorang sedang memegang sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya apakah ia ada maksud hendak menjual loceng itu. Jika memang begitu aku memintanya untuk menjual kepada aku saja. Orang tersebut malah bertanya," Untuk apa ? Aku menjawabnya, "Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum Muslimin untuk menunaikan solat." Orang itu berkata lagi, "Adakah kau mahu jika ku ajarkan cara yang lebih baik ?" Dan aku menjawab " Ya !"Lalu dia berkata lagi, dan kali ini dengan suara yang amat lantang , " Allahu Akbar, Allahu Akbar.."
Ketika esoknya aku bangun, aku menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan perihal mimpi itu kepada baginda. Dan baginda bersabda: "Itu mimpi yang sebetulnya nyata. Berdirilah di samping Bilal dan ajarkan dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu dan dia memiliki suara yang amat lantang." Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal."
Rupanya, mimpi yang serupa dialami pula oleh Umar r.a, beliau juga menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w bersyukur kepada Allah SWT di atas semua petunjuk tersebut.
Itulah kisahnya!
Mari kita ikuti cara-cara azan yang diajarkan oleh Rasullullah SAW. Jom…..
Daripada Abu Mahzurah r.a. bahawa Nabi s.a.w. telah mengajar kepadanya cara-cara Azan dengan mengulangi dua kalimah syahadah (dengan suara yang tinggi pada permulaannya dan rendah pada akhirnya) dikeluarkan oleh Muslim tetapi ia menyebut takbir (Allahu Akbar) pada permulaan dua kali sahaja. Perawi-perawi yang lima meriwayatkan pula dengan menyebut (Allahu Akbar) sebanyak empat kali.
Ciri apa yang perlu ada pada bakal tukang azan? Jawapannya…..
Hendaklah memilih dan mengutamakan suara orang yang nyaring dan baik bagi seseorang yang akan dilantik menjadi tukang azan.
Mengenai lafaz Allahu Akbar pada permulaan azan itu ada dua cara, yang pertama disebut empat kali yang diamalkan oleh orang-orang Mekah dan yang kedua disebut dua kali yang diamalkan oleh orang-orang Madinah.
Semasa di Madinah dahulu kami tak perasan lafaz Allahu Akbar yang diamalkan disana. InsyaAllah jika Allah SWT memilih kami sekeluarga sekali lagi untuk menjadi tetamuNya dan tetamu Rasul-Nya akan kami berikan perhatikan.
Mari pula kita ikuti cara azan yang dilakukan oleh Bilal yang original. Jom ikuti…..
Daripada Abu Juhaifah r.a. katanya, Aku telah melihat Bilal sedang Azan dan aku memerhatikan mulutnya, kepalanya kekanan dan kekiri dan dua jarinya didalam telinganya. Diriwayatkan oleh Ahmad dan Tarmizi, beliau menganggap hadith ini panjang.
Hadith yang diriwayatkan oleh ibnu Majah pula menyebut, meletakkan dua jarinya kedalam dua telinganya
Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyebut (Bilal) telah memalingkan tengkuknya ketika menyebut Haiya alassolah kekanan dan kekiri, tanpa berpusing badannya. Asal hadith ini didalam soheh al-Bukhari dan soheh Muslim.
Dan daripada Abu Mahzurah r.a. bahawa Nabi s.a.w. perkenan suaranya lalu diajarkan Azan kepadanya.
Apa yang dapat kita ambil ikhtibar ialah:
Setiap umat Islam dikehendaki mengambil berat didalam melakukan amal ibadatnya termasuklah ibadat sembahyang.
Sunat bagi tukang azan meletakkan dua jarinya kedalam dua telinganya supaya suaranya lebih nyaring.
Sunat juga ia memalingkan kepalanya kekanan dan kekiri ketika menyebut Haiyya alassolah dan Haiyya alalfalah
Makruh bagi tukang azan memalingkan badannya sekali ketika sedang berazan.
Harus bagi imam memberi upah kepada tukang azan dari wang Baitul Mal atau dari ahli mukim atau dari pihak yang berkuasa. Kerana khidmatnya memanggil orang untuk melakukan solat.
Solat merupakan tiang agama. Difardukan terus kepada Nabi SAW semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Ibadah yang cukup hebat yang menghalang manusia daripada melakukan perkara mungkar.
Manakala Azan pula, pengiring kepada solat, sememangnya diberikan kekuatannya tersendiri oleh Allah SWT. Laungan azan membuat syaitan cabut lari lintang pukang. Jom …..
Dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda: Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan.
Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali.
Dia sentiasa menggoda orang yang sedang solat, dengan berkata kepadanya:Ingatlah apa yang belum kamu ingat! Sehingga akhirnya orang itu tidak tahu lagi berapa rakaat dia telah solat.
Selanjutnya…..
Syaitan berada di mana-mana. Oleh kerana itu pohonlah perlindungan dengan berzikir atau membaca ayat-ayat al-Qur'an.
Dalam menghadapi keadaan-keadaan yang membahayakan, mencemaskan atau menakutkan, malah dalam keadaan biasa sekalipun pun, eloklah kita mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w,
Contohnya, dalam waktu kecemasan seperti kebakaran, azan dan takbir amat sesuai dilaungkan di samping ayat-ayat atau zikir-zikir pendek.
Selain itu untuk berlindung daripada syaitan juga kita dikehendaki melaungkan azan dan iqamah ke telinga bayi yang baru lahir.
Sesungguhnya syaitan itu tidak lain melainkan sentiasa ingin menggoda manusia dengan apa cara sekalipun hatta di dalam solat supaya manusia lalai daripada mengingati Allah dan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebinasaan pada dirinya.
Sebab itulah Rasulullah menyuruh kita mengamalkan berbagai bacaan doa sama ada ketika makan, ingin memasuki tandas, keluar tandas, memasuki rumah memakai pakaian, tidur, membawa kenderaan dan sebagainya. Maka apabila manusia terlindung dengan doa yang dibacanya itu akan terlepaslah peluang syaitan untuk merosakkan manusia.
Menarik bukan laungan azan itu. Itulah kekuatan yang diberikan kepada umat Muhammad SAW. Bukan sahaja digunakan sebagai menandakan masuk waktu solat tetapi juga mempunyai menafaat yang begitu banyak.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, Engkau jadikan dan Engkau tetapkanlah Agama kami di Agama Nabi Muhammad SAW. Dan jadikanlah ke Islaman kami Islam yang sebenar-benar Islam. Keimanan kami iman yang kukuh dan sempurna. Jadikanlah solat kami solat yang khusyuk sungguh-sungguh. Dan pendirian kami menurut pendirian orang yang takut kepadaMu. Dan rukuk kami bagi rukuk orang-orang yang merendah benar-benar kepadaMu. Dan jadikanlah sekalian amal kami sebagai amal orang yang soleh. Dan niat kami tetap dalam niat yang ikhlas. Dan jadikanlah dosa-dosa kami dosa yang diampunkan. Amin.
Wassalam.
(Sumber rujukan kami JAKIM)
0 comments:
Catat Ulasan