DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Segala puji bagi Tuhan Yang Menguasai Langit dan Bumi. Yang mengatur urusan makhluk. Selawat dan Salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Nabi dan Rasul Akhir Zaman dan juga kepada keluarga dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.

Selamat datang. Selamat membaca. Semoga terhibur.

Jazakallah Khairan Kathira.Assalamualaikum Wrt. Wbt

Selasa, Julai 24, 2012

BSK 312. Hantar dan tukar puasa

Bismillah.
Assalamualaikum.

Kita tidak lagi tinggal dipersekitaran kampong tetapi pinggir bandar atau didalam bandar yang dikenali dengan panggilan TAMAN.

Kami tinggal di Taman Bukit Kepayang 2. Bersebelahan taman kami, Taman Harmonium Indah. Lokasi, tak jauh dari bandar Seremban.

Bila kehidupan semakin canggih dan komplikated, sedikit demi sedikit kita melupakan atau terlupa tradisi kat kampong.

Di bulan puasa ni teringat satu tradisi yang rasanya dah nak pupus atau dah pupus pun kat komuniti bandar.

Kami tak pasti nama sebenarnya, tapi tradisi ‘hantar dan tukar’.

Masa dulu-dulu bila dah dekat nak berbuka, ibu-ibu akan memberi tugasan khas kepada anak-anak. Yang ini hantar kat rumah mak cik A, ini pula B, ini pula C …..

No1966

Dengan modal satu jenis, kita akan dapat menikmati tiga atau lebih jenis juadah untuk berbuka (tertakluk kepada terma dan syarat).

Kami tak menafikan ada juga tradisi ini kat bandar. Tetapi ianya  berlainan dengan yang dulu. Kita beri juga tugasan khas pada anak-anak. Mereka ada juga berjumpa dengan jiran-jiran. Tapi bukan kat rumah.

Mereka hantar duit dan tukar dengan juadah berbuka kat bazaar Ramadhan.

Cara kehidupan kita sudah berubah. Dan kita telah pun serasi dan selesa dengan cara hidup ini.

Nak buka puasa, bazaar Ramadhan ada. Duit  ada, pilih saja.

Jika ada yang masih mengekalkan tradisi ini samada di kampong atau di taman, boleh diteruskan. Mengeratkan hubungan silaturrahim gitu.

Bercakap mengenai hantar dan tukar ni jangan pula kita lupa hadith daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai wanita muslimah janganlah jiran memperkecilkan (pemberian) jirannya walaupun (pemberian) itu hanya berupa kaki kambing.” [HR Bukhari dan Muslim]

Kita digalakkan memberi hadiah dan sedekah walaupun sedikit. Memberi hadiah dan sedekah walaupun sedikit tetapi besar ganjarannya di sisi Allah kerana Islam sangat mengambil berat dalam masalah kejiranan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.

Jom kita renungi huraian hadith diatas:

  • Islam adalah agama yang mengajar umatnya nilai peradaban yang tinggi serta sopan santun yang terpuji. Maka individu yang benar-benar beriman semestinya akan mengamalkan segala ajaran Islam untuk menjaga keselamatan dirinya iaitu dengan memelihara percakapannya demi menjaga hubungan baik dengan jiran-jiran dan sahabat-sahabatnya sesuai dengan keadaan masing-masing.
  • Sebelum berkata hendaklah berfikir terlebih dahulu, bila didapati tidak ada bahaya kerananya, berkatalah, tetapi jika sebaliknya diamlah kerana diam yang tepat pada waktunya adalah sifat orang yang terpuji melainkan jika diam dari mengatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah kerana diam seperti ini adalah diam yang dicela oleh agama.
  • Setiap umat Islam hendaklah bertimbang rasa dalam pergaulan sesama jiran kerana jiran adalah orang yang paling dekat selain daripada sanak-saudara yang tinggal di sekeliling.
  • Memuliakan tetamu pula maksudnya ialah melakukan kebaikan kepada mereka sebagai orang yang datang berkunjung ke rumah di mana selaku tuan rumah hendaklah melayan tetamu mereka dengan senang hati, sopan dan memberikan jamuan kepada mereka sesuai dengan keadaan dan kemampuan. Manakala bagi tetamu pula hendaklah sebaik mungkin tidak sampai menyusahkan tuan rumah.

Seorang muslim yang berakhlak adalah yang menjaga hubungan yang baik dengan jiran.

Hubungan baik sesama jiran juga merupakan salah satu kunci kebahagiaan kehidupan kita.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya::Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa.! [HR Ibnu Hibban]

Kita fikir-fikirkan huraian hadith itu:

  • Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:
    • Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
    • Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
    • Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
    • Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
  • Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
  • Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.

Begitu pentingnya jiran dalam kehidupan kita. Perlu diingati jiran kita kat taman pelbagai. Pelbagai bangsa dan agama. Kita sebagai jiran perlu memberi hak-hak yang telah ditetapkan oleh Islam kepada yang muslim dan non muslim.

So….. ya Allah ya Tuhan kami, curahkanlah kurnia hidayahMu kepada kami untuk melaksanakan amal perbuatan serta perilaku yang baik. Tidak ada yang memberi petunjuk untuk melaksanakan perbuatan serta perilaku yang baik kecuali Engkau. Dan jauhkanlah buruknya perilaku dan perbuatan dari kami, dan tidak ada yang dapat menjauhkan kami darinya, kecuali Engkau. Amin.

Wassalam.

0 comments:

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Justin Bieber, Gold Price in India