Bismillah.
Assalamualaikum.
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
Itulah sahaja yang dapat dikatakan apabila terdengar berita kematian Kolonel Muammar Gaddafi. Pemerintah Libya selama 42 tahun.
Mati kerana tembakan 1das di kepala. Terbunuh atau dibunuh masih menjadi persoalan kerana beliau ditangkap hidup-hidup.
Jenazah beliau diletakkan didalam bilik beku sejuk sebuah pasar lama di Misrata sebelum dikebumikan di satu lokasi yang dirahsiakan di padang pasir negara itu dalam satu upacara ringkas.
Seorang anak lelaki beliau, Mo’tassim turut dikebumikan pada upacara yang sama.
Surah al-Mu’minun: ayat 15-16 yang bermaksud:
Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati. Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.
Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Berakhir kehidupan yang sementara di dunia. Akan mengecapi kehidupan baru di akhirat. Bermula dengan kehidupan alam kubur dan berakhir samada di syurga atau neraka.
Kolonel Muammar Gadaffi telah memilih cara kehidupan beliau di dunia. Cara kehidupan dunia yang mencorakkan kehidupan beliau di akhirat.
Di dunia, samada beliau seorang pemimpin yang baik atau sebaliknya cuma boleh disebutkan oleh rakyat beliau.
Kita tidak perlu membincangkannya.
Yang pasti beliau akan berbicara dengan Allah Taala berkaitan dengan tempuh 42 tahun beliau memerintah Libya.
Beliau akan dibicarakan di mahkamah Allah SWT berkaitan dengan kuasa yang Allah Taala pinjamkan seketika kepada beliau.
Saksi-saksi yang akan ditampilkan termasuklah adalah anggota-anggota badan beliau sendiri.
Maksud surah an-Nur: ayat 24-25:
Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan. Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.
Di akhirat, samada beliau seorang pemimpin yang adil atau sebaliknya akan ditentukan di mahkamah Allah SWT.
Di dunia berkemungkinan ada yang menyokong dan ada yang membangkang seseorang pemerintah.
Di akhirat mahkamah Allah SWT yang membenarkan atau menidakkan perkara itu.
Kolonel Muammar Gaddafi telah menemui janji-janji Allah Taala kepada hamba-hamba Nya.
Janji baik atau sebaliknya didalam genggaman Allah Taala. Dan ketika ini Kolonel Muammar Gaddafi sahaja yang mengetahuinya.
So….. ya Allah ya Tuhan kami, wahai Tuhan Yang Penyayang dari segala yang penyayang. Ya Allah, berlemah-lembutlah kepada kami dalam memudahkan segala yang susah. Kerana sesungguhnya memudahkan segala yang susah bagiMu adalah mudah. Dan kami memohon kemudahan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Ya Allah perbaikilah sifat beragama kami yang menjadi puncak segala urusan kami. Perbaikilah urusan dunia kami yang kami hidup didalamnya. Perbaikilah urusan kami di akhirat kelak yang menjadi tempat akhir kembali kami. Amin.
Wassalam.
0 comments:
Catat Ulasan